Menjadi seorang yang berjaya adalah bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Pastinya pelbagai cabaran dan onak yang dilalui untuk mencapai ke tahap yang membanggakan.

Apatah lagi menjadi seorang yang berpengaruh serta pernah dinobatkan sebagai lelaki terkaya Asia. Kisah lelaki yang ingin dikongsikan ini adalah Li Ka Shing. Terkini, beliau masih mengekalkan title sebagai orang terkaya di Hong Kong pada tahun ini.


LATAR BELAKANG

Bagi anda yang belum mengenali Li Ka-Shing, beliau pernah dinobatkan sebagai lelaki terkaya Asia pada beberapa tahun sebelum ini. Dengan jumlah bersih kekayaannya mencapai USD31.9 billion.

Beliau bukan dilahirkan dari keluarga jutawan mahupun kaya raya. Malah beliau juga merupakan pelajar yang tercicir persekolahan di masa zaman remaja dan menyebabkannya tidak dapat menamatkan pelajaran di sekolah.

Antara punca utama beliau tidak dapat menamatkan persekolahan adalah kerana kehilangan bapanya sebelum berumur 15 tahun. Walaupun begitu, beliau merupakan seorang yang kuat membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku dan sifat ini datang serta dipengaruhi daripada bapanya seorang guru yang amat mencintai ilmu.

Beliau dilahirkan di ChaoZhou, sebuah tempat di daerah Guangdong, China pada 29hb Julai 1928.

SEJARAH KERJAYA

Sejarah pekerjaannya bermula daripada seorang buruh kasar di sebuah kilang plastik. Kemudian beliau mencuba nasib menjadi seorang jurujual juga di dalam industri barangan plastik. Mungkin beliau sudah selesa dan mempunyai pengetahuan untuk meneruskan pekerjaan dalam industri tersebut.

Sewaktu mula bekerja sebagai buruh kasar, Li Ka-Shing telah diberi tugasan untuk membantu majikannya membuat satu surat yang penting. Tugasan itu telah diamanahkan kepadanya apabila kerani majikannya tidak hadir bekerja dan kebetulan tiada seorang pun yang dapat membantu majikannya menyediakan surat tersebut. Ini merupakan peluang keemasan untuk Li Ka-Shing menunjukkan kemahirannya menulis.

Beliau telah diperkenalkan oleh seseorang kepada majikannya atas alasan pandai membaca dan menulis. Lalu beliau diberi tanggungjawab untuk menulis surat dan akhirnya berjaya dilaksanakan dengan baik kerana keupayaan dan kemahiran mengarang. Majikannya begitu kagum lantas ditawarkan bekerja di pejabat yang lebih selesa dan baik persekitarannya.

Oleh kerana sikap seorang usahawan yang ada dalam dirinya, membuatkan beliau menolak tawaran tersebut. Sebaliknya Li Ka-Shing meminta untuk menjadi seorang jurujual daripada menjadi seorang kerani yang bekerja di pejabat.

Mendengar permintaan Li Ka-Shing, majikannya mengizinkan beliau menjadi jurujual. Terbukti bakatnya sebagai seorang jurujual amat hebat. Hasil jualannya seorang diri mengatasi hasil jumlah gabungan jualan kesemua jurujual yang ada dalam waktu yang singkat sahaja.


MEMULAKAN PERNIAGAAN

Apabila beliau bercadang  untuk membuka kilang bagi menghasilkan bunga tiruan dari plastik, majikannya begitu yakin akan bakat yang ada pada Li Ka Shing mahu mengikutinya dan menjadi rakan kongsi Li Ka-Shing. Ini bermakna majikannya sanggup berada di bawah pimpinan Li Ka-Shing yang masih muda ketika itu. Majikannya sanggup menjual kesemua kilangnya untuk mengumpul dana bagi menjayakan hasrat Li Ka Shing

Dan kini, Li Ka-Shing adalah orang paling kaya di Asia dengan memiliki pelbagai aset dan harta namun masih kekal bersederhana walaupun kekayaannya amat hebat. Beliau memang terkenal dengan cara hidup yang berjimat cermat dan amat suka membaca bagi mengumpulkan ilmu.

Begitulah secara ringkas mengenai Li Ka-Shing. Seterusnya mari kita ikuti serta dalami tips dari beliau untuk panduan usahawan muda yang mahu berjaya.

TIPS UNTUK MENJADI USAHAWAN

Sekiranya anda berpendapatan sebanyak RM2000 sebulan. Tidak kira samada anda telah mula berniaga atau masih bekerja, pastikan anda bahagikan pendapatan itu kepada lima bahagian.

  1. Belanja untuk sara hidup :

Pastikan anda bersederhana dalam belanja sara hidup. Jumlah sebanyak maksima RM600 sudah memadai jika anda pandai berjimat. Purata perbelanjaan hidup seharian adalah sekitar RM20.

  1. Belanja untuk aktiviti menuntut ilmu :

Ilmu bukan mudah untuk diperolehi, jadi anda perlu mencari dan terus belajar. Untuk itu anda perlu pastikan sejumlah RM300 diperuntukkan untuk membeli buku pengetahuan atau ilmiah serta hadiri seminar atau kursus keilmuan dan kemahiran. SElain mndapat ilmu anda juga akan bertemu dengan kenalan baru yang sama-sama ingin belajar dan berjaya dalam hidup.

  1. Belanja kenalan untuk membina rangkaian :

Bajet sekitar RM100 sebulan untuk bayaran bil telefon untuk menghubungi kenalan anda. Peruntukkan sebanyak RM300 lagi untuk belanja kawan makan. Anda boleh bajet dalam 3 orang sebulan dengan kos RM100 seorang. Jadi jumlahnya adalah dalam lingkungan RM400 untuk aktiviti bina rangkaian melalui kenalan ini. Pastikan kenalan itu adalah mereka yang lebih berilmu daripada anda supaya dapat mengambil dan mempelajari ilmu yang mereka ada. Pastikan kenalan anda juga lebih kaya daripada anda supaya dapat mengorek rahsia kejayaan mereka. Dan pastikan juga kenalan itu adalah orang yang membantu anda samada dalam bidang pekerjaan mahupun perniagaan.

  1. Melancong ke luar negara :

Peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk aktiviti berjalan ke negeri orang. Anda boleh tetapkan satu aktiviti berjalan ke luar negara sekali setahun. Jika anda sediakan RM200 sebulan, setahun anda akan ada sebanyak RM2,400. Jumlah itu memadai untuk anda melancong ke negara jiran yang kosnya murah. Berjimat dengan penuh berhemah ketika melancong. Bukan kemewahan yang yang dicari, tapi apa yang boleh anda pelajari daripada pengembaraan itulah yang paling penting. Jauh perjalanan, luas pemandangan.

  1. Simpanan :

Jadikan peruntukan sebanyak RM500 sebulan adalah untuk simpanan dalam akaun bank. Ia adalah pelaburan untuk modal memulakan perniagaan anda.

NASIHAT

Selain daripada itu, Li Ka-Shing juga menasihatkan usahawan muda untuk berjimat cermat dari awal dan jangan membelanjakan wang untuk membeli barangan mewah. Simpan terlebih dulu wang anda. Apabila sudah kaya nanti, belilah apa sahaja yang anda mahukan.

Satu lagi nasihat yang menarik dari Li Ka-Shing adalah, jika anda miskin perbanyakkan masa dan sibukkan diri di luar. Keluar dan mencari kawan serta lakukan aktiviti yang bermanfaat. Sekiranya anda sudah kaya nanti barulah habiskan masa duduk di rumah dan kurangkan keluar.

Itulah serba sedikit tips dan nasihat yang menarik untuk usahawan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Semoga dapat membantu anda untuk terus berjaya sepertimana yang diimpikan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here