Akibat terpedaya dengan urusan jual beli rantai emas, seorang guru lelaki mengalami kerugian berjumlah RM18,250 apabila ditipu oleh ‘wanita’ sebanyak dua kali. Malang yang berganda ini telah dialami oleh guru ini di Pulau Tioman lapor Harian Metro.

Mangsa berusia 48 tahun itu berminat membeli rantai emas selepas melihat satu iklan di Facebook (FB) yang menggunakan nama Fatihah Ibrahim pada 18 November tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian berurusan dengan wanita menerusi WhatsApp dan hasil perbincangan dia bersetuju membeli seutas rantai emas dengan harga RM5,250.

Selepas memasukkan wang, mangsa ditawarkan untuk membeli seutas rantai emas lagi yang dipersetujuinya sebelum memindahkan wang berjumlah RM13,000 ke akaun yang sama.

Wanita itu mendakwa sudah menghantar rantai berkenaan menggunakan khidmat kurier, namun sehingga kini mangsa belum menerima barang kemas berkenaan.

Mangsa cuba menghubunginya, namun suspek gagal dihubungi dan dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini semalam,” katanya dalam satu kenyataan media di Rompin, hari ini.

Dalam kes berasingan Mohd Wazir berkata, jurujual lelaki berusia 33 tahun kerugian RM10,500 selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang kononnya warga negara Singapura bekerja di Kanada.

Suspek yang menggunakan nama Dominion Zhang itu berjanji menghantar hadiah sebagai tanda persahabatan, namun mangsa diminta membuat bayaran bagi tujuan insurans dan kurier barang berkenan.

Mangsa membuat tiga kali pindahan ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,500,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat pindahan berkenaan, mangsa masih belum menerima hadiah yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam selepas mengesyaki ditipu.

Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here