MUTAKHIR

Gambar ‘Mowgli Malaysia’ Membawa Tuah

GAMBAR ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukur Khamis, 14, bersama kerbau peliharaannya sekali lagi terpilih untuk ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akedemi Camarena (CAPA) India 2019.

Berita mengenai pemilihan gambar Syukur ‘The Kampung Boy’ itu dikongsi jurugambar, Abdullah Dean Mohd Zain, 44, atau lebih terkenal dengan panggilan Dallah Deen di media sosial, Instagram dan Facebook miliknya hari ini.

 

Pertandingan yang menawarkan hadiah utama wang tunai RM5,748 (1 lakh Indian Rupee) turut mencalonkan sembilan gambar lain yang dirakam jurugambar terbaik di seluruh dunia termasuk dari India, Pakistan dan Dubai.

 

Dallah Deen berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemilihan gambar Mohd Syukur ke pusingan akhir CAPA 2019.

Menurutnya, gambar Mohd Syukur sememangnya bertuah dan sentiasa menarik perhatian mentor pemilih dan penilai CAPA.

Sejak 2016 saya menyertai CAPA dan gambar aksi Mohd Syukur bersama kerbau tidak pernah mengecewakan.

“Gambar Mohd Syukur sedang berhadapan dengan kerbau itu adalah gambar yang kelima tersenarai ke pertandingan akhir CAPA.

“Kali ini gambar Mohd Syukur sedang berinteraksi dengan kerbau akan bertanding dalam kategori Kehidupan Harian dan saya berharap ia terpilih sebagai gambar terbaik”, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dallah berkata, biarpun sudah empat kali gambar yang dirakam membabitkan Mohd Syukur dan kerbau berjaya ke pusingan akhir tetapi tidak pernah berjaya, namun hal itu tidak mematahkan semangatnya.

“Saya tidak malu sekiranya kalah pada pertandingan itu kerana menyedari saingan sengit daripada jurugambar dari seluruh dunia.

“Berjaya ke peringkat akhir pun sudah memadai dan satu kebanggaan kepada saya sekali gus memberi motivasi untuk saya terus berkarya”, katanya yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai jurugambar kembara pada 2017.

Menurutnya, gambar Mohd Syukur bersama kerbau sentiasa menjadi perhatian malah tidak asing dalam kalangan jurugambar di seluruh dunia dan ahli panel pemilih pertandingan.

“Saya sendiri pernah beberapa kali mengiringi jurugambar dari pelbagai negara ke kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk untuk merakam gambar Mohd Syukur”, tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *